MERSING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan konsep Malaysia Madani bukan sekadar slogan, sebaliknya teras penting dalam membina sebuah negara berdaya maju tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, meskipun negara kini giat mengejar arus transformasi digital, teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI), rakyat tidak boleh melupakan asas utama iaitu akhlak, keadilan dan sikap saling menghormati.
“Dia pandai AI, tetapi dalam masa sama masih wujud sikap hina-menghina antara kaum, benci-membenci dan dia faham agama, tapi agama digunakan untuk memupuk kebencian.
“Madani ini saya tegaskan kemampanan tentunya ekonomi mampan untuk jangka panjang, jangan musnahkan alam sekitar, kamu kaya untung syarikat jangan tekan pekerja sampai gaji rendah sangat, ada kuasa jangan rebut kontrak untuk anak beranak. Ini semua teras nilai Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada sesi dialog interaktif di program Temu Anwar Pengakap sempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor Kali Ke 27 Tahun 2025 di Arena Utama, Tanjung Leman di sini hari ini.
Beliau berkata, daya cipta negara perlu bergerak ke hadapan dengan teknologi baharu, bukan lagi bergantung semata-mata kepada industri lama seperti getah dan kelapa sawit.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan hak anak muda berusia 18 tahun untuk mengundi perlu disempurnakan kerana ia dijamin Perlembagaan dan menjadi asas kepada sebuah negara demokrasi. – KOSMO! ONLINE