PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC) diberi penghormatan sebagai hospital terbaik di Malaysia dan membuat penampilan sulung dalam senarai 350 hospital terbaik di dunia, berdasarkan ranking terkini World’s Best Smart Hospitals 2026 oleh Newsweek.
Ini adalah kali pertama Malaysia disenaraikan dalam senarai berprestij itu, yang mengiktiraf 350 hospital dari 30 negara.
SMC menduduki ranking ke-313, dengan hospital antarabangsa lain dalam senarai termasuk Hospital Johns Hopkins, Mayo Clinic, Hospital Besar Singapura dan Hospital Universiti Tokyo.
Kedudukan terkini adalah berdasarkan tinjauan dalam talian yang komprehensif, bersama dengan Tinjauan Kematangan Hospital Pintar Statista dan Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) akreditasi hospital.
Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, pihaknya amat berbangga kerana berada di kedudukan antara hospital pintar terbaik dunia.
“Penyepaduan teknologi terkini dan pendigitalan sistem perubatan adalah penting untuk meningkatkan kepuasan pesakit, menyelaraskan operasi dan memperkasakan doktor kami.
“Dengan pengenalan teknologi digital dan automasi termasuk sistem dikuasakan kecerdasan buatan (AI), Sunway Healthcare Group kekal komited terhadap keselamatan pesakit, privasi data dan piawaian etika.
“Ini cara kami memacu pertumbuhan dan inovasi, sambil kekal berpegang pada misi untuk membina Sunway yang sedia masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai hospital utama Sunway Healthcare Group, SMC menempatkan lebih 300 perunding perubatan, 80 pakar perubatan dan 28 Pusat Kecemerlangan.
Selepas blok keenamnya, Menara F (Pavilion Kanak-kanak) siap, SMC akan mempunyai kapasiti untuk berkembang kepada lebih 1,100 katil. – KOSMO! ONLINE














