fbpx
Gambar hiasan

PTPK nafi hentikan pinjaman, elaun pelajar TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menegaskan pembiayaan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup bulanan kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak pernah dihentikan.

Pihaknya sekali gus menolak dakwaan yang dibuat oleh Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, PTPK memaklumkan sehingga Ogos tahun ini, pihaknya sudah meluluskan pinjaman kepada 21,947 pelajar, menjadikan keseluruhan komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan.

“Semua pelajar yang telah diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa. Malah, elaun sara hidup kini telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PTPK menegaskan, dakwaan bahawa beberapa kumpulan pelajar diberhentikan pembiayaan adalah tidak benar.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 2001, PTPK telah meluluskan RM4.76 bilion pinjaman melibatkan 306,600 peminjam.

Bagi memastikan dana disalurkan secara berkesan, PTPK memaklumkan pengagihan pembiayaan masa hadapan akan berpandukan empat penekanan utama.

“Keutamaan kepada program berimpak tinggi, rekod prestasi bayaran balik pinjaman, pematuhan terhadap syarat permohonan (termasuk rayuan) dan penempatan pekerjaan selepas tamat latihan,” jelasnya.

Dengan pendekatan baharu berasaskan Performance-Based Budgeting dan prinsip Value for Money, PTPK yakin bahawa keberkesanan dan kelangsungan dana akan terus terjamin sekali gus memastikan para pelajar mengikuti kursus yang lebih berkualiti, memperoleh kelayakan lebih baik serta mempunyai masa depan terjamin

PTPK turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia atas sokongan berterusan beliau dalam memastikan setiap program PTPK selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Terdahulu, FeMAC dilaporkan mendakwa ribuan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) tertekan apabila pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup di bawah PTPK dihentikan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut FeMAC, gangguan berulang kali dalam penyaluran pinjaman dan elaun bukan sahaja menjejaskan kelancaran pengajian, malah turut memberi tekanan kepada institusi TVET swasta yang terpaksa berdepan kekangan kewangan serta kesukaran mengambil pelatih baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN