JAKARTA – Sepasang lelaki mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam mencuri sembilan pasang kasut sukan di sebuah rumah di Kota Malang, wilayah Jawa Timur, lapor portal berita Bhinneka Nusantara.
Kejadian berlaku di sebuah kejiranan dalam daerah Blimbing, beberapa hari lalu.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memanjat pagar lalu mengambil beberapa pasang kasut yang terletak di halaman sebuah rumah.
Pemilik rumah tersebut, Nguroho Wisnu berkata, kecurian itu diketahui apabila pasu bunga yang sepatutnya tergantung, tiba-tiba berada di lantai.
“Saya segera memeriksa rak kasut. Rupa-rupanya ada sembilang pasang kasut yang hilang. Jumlah kerugian adalah sekitar 10 juta rupiah (RM2,568).
“Seorang lelaki ditugaskan untuk memanjat pagar dan mengambil kasut, manakala rakannya menunggu di luar rumah untuk memerhatikan suasana,” kata Nguroho.
Ketua Perhubungan Awam Polis Kota Malang, Inspektor Pertama Yudi Risdiyanto menggesa mangsa untuk membuat laporan rasmi agar siasatan boleh dijalankan. – AGENSI