IPOH – Syarikat automotif China, BYD akan menjadi pelabur utama kawasan industri baharu KLK TechPark di Tanjung Malim, yang bernilai pembangunan kasar RM3.5 bilion.
KLK TechPark merupakan projek hartanah seluas 600 hektar terletak berdekatan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) iaitu kawasan perindustrian yang dipacu oleh syarikat automotif negara, Proton.
Projek itu merangkumi 520 hektar tanah untuk pembangunan industri dan 80 hektar kawasan kediaman, yang akan dibangunkan secara berfasa dari tahun 2025 hingga 2035.
Fasa pertama menyaksikan BYD sebagai pelabur utama membabitkan fasiliti seluas 150 ekar, dengan kerja-kerja infrastruktur utama disasarkan siap pada akhir 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad percaya perkembangan itu mampu menarik lebih banyak pemain industri automotif dan yang berkaitan.
Katanya, keadaan itu disokong lagi dengan pembangunan Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) yang terletak di Sungkai.- KOSMO! ONLINE