PETALING JAYA – “Saya tahu ramai yang tertanya-tanya adakah Ahli Parlimen dibayar terlalu tinggi,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul.
Menurutnya, beliau juga tahu ramai tertanya-tanya mengapa Ahli Parlimen di Malaysia diberi elaun kehadiran dan elaun keraian.
Kata Johari, perkara penting dalam persoalan sama ada Ahli Parlimen dibayar terlalu tinggi adalah dengan memahami skop tugas mereka.
“Apabila kita bertanya sama ada Ahli Parlimen dibayar terlalu tinggi atau terlalu rendah, ukuran mestilah berasaskan tanggungjawab ini.
“Paling utama, apa sahaja sokongan dan elaun diterima Ahli Parlimen mestilah telus dan berakauntabiliti
“Benar-benar terikat kepada keperluan untuk melaksanakan tugas dengan berkesan demi rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Terdahulu, Johari berkata, Ahli Parlimen melaksanakan fungsi legislatif iaitu berbahas, meneliti serta menentukan undang-undang yang memastikan eksekutif dipertanggungjawabkan melalui sesi soal jawab, jawatankuasa pilihan khas dan perbahasan.
Kata beliau, kedua adalah fungsi bukan legislatif membawa suara pengundi termasuk mengurus pejabat kawasan, menghadiri program komuniti, memberi respons kepada isu setempat dan memastikan projek pembangunan dipantau.
“Ramai Ahli Parlimen melantik pegawai khas dan kakitangan hanya untuk mengendalikan jumlah permintaan yang tinggi daripada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Kata beliau, skop tugas ketiga adalah Ahli Parlimen memainkan peranan antarabangsa termasuk mewakili negara di luar negara melalui diplomasi parlimen.
“Sama ada dalam Perhimpunan Parlimen Inter-ASEAN (AIPA), Persatuan Parlimen Komanwel atau pertukaran dua hala sekali gus membina jambatan yang melengkapi dasar luar kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE