ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendesak pihak berkaitan menyiasat insiden sewa tapak parkir untuk ruang niaga sebanyak RM400 di Baling sehingga mencetuskan kekecohan di media sosial sejak semalam.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, caj sedemikian untuk peniaga di kawasan tersebut disifatkan sebagai melampau dan bersikap menekan golongan berkenaan.
“Apa yang disuarakan oleh individu terbabit tentang caj parkir tersebut adalah berasas dan patut didengar. Peniaga di tepi jalan ini mereka ingin menjual barang lebih murah dan ini akan memberi kebaikan kepada pengguna juga.
“Tetapi jika ini harga tapak melebihi pasar raya bagaimana peniaga ini dapat menjual barang pada harga murah lagipun mereka hanya peniaga kecil-kecilan sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, pihak atau agensi terlibat perlu menyiasat insiden tersebut demi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan daripada caj tersebut.
“Caj ini terlampau tinggi sampai RM400 tetapi di kawasan lain tidak mengenakan caj sebegini. Kita harap insiden ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Beliau mengulas tentang insiden seorang pempengaruh yang juga peniaga minuman hipster melahirkan rasa kecewa berhubung caj RM400 bagi sewa parkir di Baling yang tular di media sosial sejak semalam. – KOSMO! ONLINE