SUNGAI PETANI – Seorang peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan tirinya yang berusia 13 tahun, bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 32 tahun dan tidak diwakili peguam itu mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di bilik tidur sebuah rumah di Gurun, dekat sini pada pukul 10 malam,10 Ogos lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan. – KOSMO! ONLINE