SAN JUAN, Puerto Rico – Seorang penumpang dilaporkan terjun daripada sebuah kapal persiaran milik syarikat Royal Caribbean untuk mengelak membayar hutang judi lebih AS$16,000 (RM68,000), lapor portal berita MailOnline semalam.
Jey Gonzalez-Diaz terjun daripada kapal Rhapsody of the Seas yang berlabuh di Pelabuhan San Juan, Puerto Rico pada Ahad lalu sekitar pukul 9.15 pagi (waktu tempatan), demikian menurut satu afidavit.
Pihak Royal Caribbean berkata, dia mengumpul hutang sebanyak AS$16,710 (RM71,000) selepas kalah berjudi di kasino sepanjang percutian selama seminggu.
Selepas terjun ke dalam laut, dia dibawa ke pantai oleh seseorang yang menunggang jet ski,
Jey memberi alasan terjun daripada kapal kerana tidak mahu melaporkan wang tunai yang dibawanya kerana menyangka akan dikenakan cukai.
Suspek kemudian dibebaskan dengan ikat jamin dan berdepan pertuduhan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda sehingga AS$250,000 (RM1 juta). – AGENSI