fbpx
Shazeli menunjukkan bungkusan makanan kucing digunakan bagi penyeludupan dadah. FOTO: SADDAM YUSOFF

Bungkus dadah dalam makanan kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM -Taktik baharu penyeludupan dadah menggunakan bungkusan makanan kucing dan anjing terbongkar hasil tiga siri serbuan melibatkan dua sindiket bahan terlarang bermula kelmarin.

Serbuan dilakukan di Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kuala Lumpur itu menahan lima lelaki tempatan berusia 18 hingga 47 tahun.

Rampasan dadah pula adalah sebanyak 164.2 kilogram melibatkan ekstasi, syabu, erimin 5 dan cecair syabu dianggarkan 16.7 juta.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kedua-dua sindiket itu mula bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan pasarannya sekitar Lembah Klang dan Sarawak.

Katanya, menerusi serbuan pertama kira-kira pukul 3.45 petang kelmarin menangkap dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Mercedes-Benz A200 di persimpangan lampu isyarat sekitar Banting.

“Hasil pemeriksaan telah merampas 30 bungkusan dadah jenis ekstasi dan tiga bungkusan erimin 5 di ruangan tempat duduk belakang kereta tersebut.

“Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 18 dan 22 rekod lampau. Mereka sewaktu ditahan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, sindiket ini antaranya menggunakan bungkusan makanan kucing dan anjing yang merupakan taktik baharu dikesan pihaknya.

Ujarnya, serbuan kedua di KLIA pula menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang sedang menarik sebuah beg bagasi semasa menunggu penerbangan ke Sarawak kira-kira pukul 5.10 pagi hari sama.

Soal-siasat mendapati suspek bertindak sebagai ‘transporter’ dengan upah RM1,000 dan dipercayai telah melakukan beberapa penghantaran sebelum ini ke negeri tersebut.

“Susulan itu, kita berjaya menangkap dua lagi rakan suspek sehari kemudian di sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur sebagai stor penyimpanan mereka.

“Serbuan pukul 1.10 tengah hari itu merampas 89 bungkusan syabu dan satu tong putih berisi bahan cecair syabu. Kedua-dua suspek terakhir ini bertindak sebagai pembekal dengan
mereka dari sindiket kedua ini berasal dari Sarawak,” katanya.

Jelas Shazeli, hasil penangkapan kesemua suspek dari dua sindiket ini berjaya menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dan masing-masing seutas jam tangan dan rantai dianggarkan keseluruhan RM40,500.

“Kesemua mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI