PETALING JAYA – Pelancaran iPhone 17 baru-baru ini sekali lagi mencetuskan fenomena di kalangan peminat teknologi.
Dengan harga runcit bermula sekitar RM4,000 hingga RM10,000 bergantung kepada kapasiti storan, ramai yang tertanya-tanya adakah berbaloi untuk membelanjakan jumlah sebesar itu untuk sebuah telefon pintar baharu.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram @Mgagmy mendedahkan, sebenarnya jumlah wang yang sama boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan dan pelaburan jangka panjang.
Antaranya, anda boleh menikmati 19,998 batang keropok lekor goreng apabila harga jualannya 50 sen setiap satu.
Selain itu, harga sebuah iPhone 17 juga boleh dimanfaatkan dengan menempah percutian ke Sabah sekurang-kurangnya enam kali selain membeli 2,875 bungkus teh ais ikat tepi.
Perkongsian itu juga turut berkongsi beberapa pilihan lain untuk pengguna berbelanja dengan duit masing-masing seperti makan 6,666 keping roti canai serta membeli 1,250 pinggan nasi lemak.
“Harga iPhone 17 yang mencecah RM10,000 itu boleh dijadikan modal menyalurkan bantuan kepada 100 penerima dengan setiap seorang mendapat RM100,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE














