KUALA LUMPUR – Satu trend menarik mula tular dalam kalangan pengguna media sosial iaitu mencipta imej realistik gaya figura (figure) menggunakan aplikasi kecerdasan buatan seperti Google Gemini Nano Banana.
Gambar-gambar tersebut seolah-olah memaparkan model mainan komersial sebenar yang dipamerkan di atas meja, sekali gus menimbulkan persoalan tentang hukum menghasilkan patung maya sebegitu.
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya baru-baru ini menjelaskan hukum membuat patung atau imej bergantung kepada tujuan serta bentuknya.
“Nak tengok hukum kena tengok adakah patung itu jadi pada alam nyata atau gambarnya sahaja. Kalau jatuh patung itu di alam nyata, boleh ada bayang, maka tengok tujuan pula.
“Membuat patung ini ada dua hukum iaitu harus dan haram. Harus apabila dibuat untuk tujuan pembelajaran,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kebanyakan patung yang digunakan di universiti serta kolej untuk tujuan pembelajaran selain patung yang dibina untuk menjaga keselamatan jalan raya.
“Kalau patung-patung macam tu, hukumnya harus. Ulama’ kata harus, dalam kitab Arab, kitab Jawi pun ada (dinyatakan hukum) dalam mukadimah kamus al-Marbawi depan sekali,” katanya.
Bagaimanapun jelas UAI, jika patung-patung itu dimuliakan atau diagungkan, hukumnya haram dengan ijmak ulama.
“Ada pun kalau tidak menjelma di alam nyata, hanya duduk di alam maya sahaja, sekadar imej untuk simpan dalam album atau dilihat secara suka-suka, tidak jatuh kepada haram melainkan ada rupa yang mengaibkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE