PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Doha semalam dengan menyifatkan tindakan itu melanggar kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Wisma Putra berkata, pelanggaran seperti itu membawa ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Tindakan haram rejim Zionis Israel akan memburukkan lagi ketegangan serantau dan membahayakan kestabilan dan keselamatan bukan sahaja Qatar, tetapi juga rantau tersebut.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan keganasan Israel dan mempertanggungjawabkan rejim tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Wisma Putra berkata, Malaysia berdiri teguh dan bersolidariti dengan kerajaan dan rakyat Qatar serta menegaskan semula
sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan, keselamatan dan kestabilan negara
tesebut.
Semalam, Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku di Legtaifiya, Doha adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas.
Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dalam insiden berkenaan.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga, mengelakkan kawasan kejadian serta mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara itu.
Kerajaan Qatar dalam pada itu memberi jaminan bahawa keadaan kini terkawal sepenuhnya dan ruang udara negara berkenaan tidak akan ditutup. – KOSMO! ONLINE