KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh menampilkan aksi cukup baik bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.
Pada pusingan pertama yang berlangsung di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, pemain berusia 21 tahun itu menewaskan pilihan kelapan dari Perancis, Toma Junior Popov 21-12, 21-17.
Biarpun turun dengan status bukan pilihan, namun Justin yang juga bekas juara remaja Asia membuktikan ranking hanyalah angka selepas membenam pemain No.13 dunia itu.
“Saya boleh katakan saya bermain baik hari ini, begitu juga dengan pemain lawan. Bukan satu perlawanan yang mudah, jadi saya sangat gembira kerana dapat memenangi perlawanan ini.
“Tidak terlalu rumit kerana jurulatih (Kenneth Jonassen) sudah ajar bagaimana cara untuk berdepan pemain Eropah dan saya juga berlatih di Denmark sebelum ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menerusi kemenangan itu, Justin dijadualkan bertemu rakan sepasukan, Leong Jun Hao di pusingan kedua esok, sekali gus menjamin satu slot buat Malaysia di suku akhir.
“Pertama sekali, saya gembira kerana dua pemain Malaysia akan bertemu sesama sendiri. Bagi saya, kami berdua hanya perlu berikan yang terbaik,” ujar Justin. – KOSMO! ONLINE