fbpx
Muhammad Alif ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOF/ KOSMO1

Kes Farah Kartini: Pendakwaan serah semua dokumen kepada peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pihak pendakwaan sudah menyerahkan semua dokumen kepada pembelaan berhubung kes seorang anggota polis yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nadia Othman hari ini.

Menurut peguam itu, dokumen-dokumen tersebut antaranya membabitkan barang-barang kes.

“Pihak pembelaan akan meneliti terlebih dahulu semua dokumen-dokumen yang telah diserahkan. Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini bagi sebutan semula kes. Pada tarikh itu pihak pembelaan akan memaklumlan kepada mahkamah sama ada untuk mengemukakan representasi atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes.

Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman. Selain Aida Jaafar Muhammad Alif turut diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa telah menyebabkan kematian terhadap Nur Farah Kartini , 26, (umur sewaktu kejadian) di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang pada 15 Julai 2024.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Farah Kartini hilang sejak 10 Julai 2024, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Mayatnya kemudian dijumpai oleh pihak polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.

Susulan itu seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN