fbpx
Mohd. Nizam Jaafar bergambar pada ACDFM ke-22, di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

ASEAN tubuh pasukan petugas khas tangani ancaman rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu pasukan petugas khas bersama ditubuhkan hasil persetujuan negara anggota pada Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM) yang berlangsung di sini, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar, berkata penubuhan pasukan khas itu dianggap sebagai langkah penting kerana ia memberi tumpuan menyeluruh terhadap 11 isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, pasukan khas berkenaan akan mula beroperasi serta-merta bagi menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk jenayah siber serta penipuan dalam talian yang semakin berleluasa rentas sempadan.

“Pasukan petugas ini akan menyemak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang dibangkitkan semasa mesyuarat. Tambahan pula, kita kini berdepan dengan pelbagai ancaman bukan tradisional.

“Masalahnya, bagaimana kita mahu menanganinya jika kita hidup dalam dunia tanpa sempadan?” katanya pada sidang akhbar selepas ACDFM di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada pasukan petugas khas ini menyerupai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mohd. Nizam menegaskan ia tidak sama sekali.

Beliau berkata pasukan petugas khas yang ditubuhkan ini berfungsi untuk membincangkan cara menangani sekiranya wujudnya ancaman terhadap negara-negara ASEAN.

“Ia tidak sama seperti NATO kerana NATO adalah sebuah organisasi yang benar-benar bersifat ketenteraan. Sebaliknya, pasukan petugas bersama ini diwujudkan bagi melihat bagaimana kita boleh memperkukuh kerjasama dan melaksanakan tindakan bersama.

“Contohnya penipuan dalam talian, serangan siber dan sebagainya. Jika kita tidak mempunyai pasukan petugas untuk meneliti perkara-perkara sebegini, kita tidak mampu menghadapi ancaman itu bersama,” katanya.

Tambah Mohd. Nizam, untuk pasukan tersebut berkembang sehingga mencapai tahap seperti NATO, ia memerlukan masa yang panjang kerana ASEAN masih percaya kepada prinsip Zon Aman, Bebas dan Berkecuali.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya pasukan ini, kita mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang seragam.

” akan bermula dengan bidang seperti Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), keselamatan siber, kecerdasan buatan dan perkara-perkara seumpamanya terlebih dahulu sebelum melangkah kepada aspek yang lebih besar dan ketat sifatnya,” ujarnya.

Antara 11 perkara yang menjadi fokus utama dalam persidangan hari ini termasuk menjaga keamanan dan kestabilan, menyelesaikan pertikaian secara aman berasaskan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

Selain itu, negara anggota turut komited memperkukuh keyakinan bersama melalui beberapa inisiatif sedia ada, antaranya Kod Perlanggaran Tidak Dirancang di Laut, Garis Panduan Perlanggaran Ketenteraan Udara, Garis Panduan Interaksi Maritim, Infrastruktur Komunikasi Terus ASEAN, serta pelbagai mekanisme di bawah kerangka Deklarasi Tatalaku di Laut China Selatan.

Dalam aspek keselamatan serantau, ASEAN juga berikrar untuk terus menyumbang secara aktif dalam pelbagai bidang termasuk HADR, Keselamatan Maritim, Perubatan Ketenteraan, Anti-Keganasan, Keselamatan Siber, Tindakan Kemanusiaan terhadap Lombong Letupan serta Operasi Pengaman.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN