KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin utama dunia telah mengesahkan kehadiran beliau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober depan.
Perdana Menteri berkata, sidang tersebut dijangka menjadi medan diplomasi berprofil tinggi apabila pemimpin kuasa besar dunia bakal hadir serentak.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Russia, Vladimir Putin ketika pertemuan di Beijing, menyatakan hasrat untuk hadir ke negara ini.
“Sementara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga sebelum ini telah mengesahkan kehadirannya.
“Presiden Trump hubungi saya dan sahkan akan hadir bulan depan. Presiden Putin pula menyatakan secara terus kepada saya di Beijing bahawa beliau mempertimbangkan secara serius untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-50 Kumpulan AmBank dan makan malam perdana di Kuala Lumpur, malam tadi.
Tambah Anwar, lawatan seumpama itu mencerminkan kedudukan Malaysia walaupun berdepan cabaran global masa kini.
“Ini adalah masa yang mencabar. Tetapi walau apa pun, saya tetap sangat optimis kerana kita mempunyai daya tahan.
“Kita perlu membina dengan daya tahan ekonomi dan juga daya tahan domestik.
“Tidak ada sebab, kita tidak boleh mengatasinya kerana asas kita telah kukuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














