KUALA LUMPUR – Seramai 1,511,418 daripada 1,513,058 penjawat awam memilih untuk menerima opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, keadaan itu membuktikan SSPA diterima baik oleh penjawat awam.
Katanya, sebanyak 99.9 peratus penjawat awam selesai membuat pilihan yang bermakna hanya 1,640 daripada mereka memilih tidak menerima opsyen tersebut.
“Ini jelas menunjukkan kadar penerimaan penjawat awam terhadap SSPA amat baik pada tahap 99.9 peratus yang mewakili hampir keseluruhan penjawat awam,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Negara di sini semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Prof. Dr. Mohamed Haniffa Abdullah mengenai sambutan dan maklum balas penjawat awam terhadap opsyen SSPA.
Dr. Zaliha berkata, sepanjang tempoh pemilihan opsyen dari 21 Oktober 2024 hingga 30 November 2024, seramai 1,388,476 penjawat awam Persekutuan dan 98,177 penjawat awam negeri melaksanakan pemilihan opsyen.
Sementara itu, katanya, kenaikan pangkat secara ‘one-off’ kepada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional membabitkan 71 skim perkhidmatan tertakluk kepada kekosongan jawatan.
Katanya, kenaikan pangkat ‘one-off’ dibuat mengikut syarat-syarat ditetapkan termasuk memenuhi tempoh minimum perkhidmatan yang melayakkan di gred sandangan dan perkhidmatan keseluruhan.
Ujarnya, sehingga 30 Julai lalu, JPA menerima 1,119 permohonan daripada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang layak untuk dipertimbangkan.
“Keputusan pemberian ini mengambil kira kepentingan semua skim perkhidmatan dan tempoh perkhidmatan yang munasabah berdasarkan pengalaman dan prestasi pegawai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














