KOTA KINABALU – Mana-mana pihak yang berkongsi atau mendedahkan eksibit berkait inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Koroner Amir Shah Amir Hassan memberikan peringatan itu sebelum prosiding berhenti untuk makan tengah hari.
“Saya menerima aduan bahawa terdapat eksibit (barang kes) yang telah bocor ke media sosial.
“Mana-mana individu yang didapati berkongsi eksibit (di media sosial) boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.
“Pihak-pihak diingatkan agar tidak berkongsi, tidak mengganggu eksibit kerana ia menjurus kepada menghina mahkamah dan tindakan boleh diambil,” ujar Koroner terbabit.
Sejak insiden malang yang menimpa Zara Qairina tular, pelbagai ‘bukti’ telah dikongsikan di pelbagai media sosial.
Antara yang dikongsikan ialah beberapa tulisan tangan remaja terbabit dan juga rakaman perbualan Zara Qairina dengan ibunya, Noraidah Lamat.
Pada prosiding hari ini, sebanyak 15 helaian kertas, empat buah buku nota dan dua buah buku teks dikemukakan oleh pemeriksa dokumen daripada Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd. Noh.
Prosiding bersambung pukul 2 petang ini.- KOSMO! ONLINE