fbpx
Abu Sahid (baju putih) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari inj. Foto oleh SHIDDIQIEN ZON/KOSMO!

Tan Sri Abu Sahid mengaku tidak salah pecah amanah, ubah wang haram lebih RM450 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pengubahan wang haram membabitkan lebih RM100 juta.

Bagaimanapun tertuduh, Abu Sahid, 74, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Kesemua pertuduhan itu membabitkan projek ‘Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn. Bhd’.

Bagi empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd. dan di dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan wang milik syarikat dalam akaun bank secara tidak jujur menyalahgunakan wang yang berjumlah RM313 juta.

Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku, Taman Bukit Tunku di sini pada 3 Mei 2016 dan 21 Oktober 2019.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Bagi 13 pertuduhan lain, Abu Sahid didakwa memindahkan wang kepada beberapa individu serta syarikat dan melupuskan wang yang kesemuanya hasil aktiviti wang haram berjumlah RM139 juta.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 4 Mei 2016 dan 19 September 2018. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, isteri Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi, 48, dan bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, 68, masing-masing didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram dan dokumen palsu.

Noor Azrina didakwa atas satu pertuduban menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM67,136,588 menerusi akaun banknya daripada akaun bank Abu Sahid.

Perbuatan itu dilakukan antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 di sebuah bank di Bukit Tunku.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Wee Leong pula didakwa atas 17 pertuduhan menggunakan sebagai tulen dokumen untuk projek ‘Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn. Bhd.’ yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu membabitkan RM314,486,100.

Kesalahan dilakukan di sebuah pejabat di Jalan Sultan Ismail di sini antara Jun 2017 dan April 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sampai dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Abu Sahid dan Noor Azrina diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik. Wee Leong pula diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman.

Mahkamah membenarkan Abu Sahid diikat jamin sebanyak RM1.5 juta, Noor Azrina (RM500,000) dan Wee Leonh (RM1 juta) berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernila kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah.

Menurut sumber, sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara.

Kata sumber itu, menerusi penggeledahan SPRM telah menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan berjumlah lebih RM1 juta dan barang kemas berjumlah lebih RM4 juta.

SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI