KEMAMAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kesal dan memandang serius isu serangan siber terhadap Pakar Patalogi Forensik, Dr. Jessie Hui susulan keterangan yang dibuatnya dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tidak wajar melakukan serangan terhadap pakar perubatan yang menjalankan tugas secara profesional dan ia hanya akan mencemarkan martabat profesion perubatan tempatan.
“Saya memandang serius isu pembulian siber yang menimpa Dr. Jessie Hui.
“Saya ingin tegaskan setiap pihak harus menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan,” katanya selepas program Bicara bersama Menteri, Reformasi Pembiayaan Kesihatan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Timur, di sini, hari ini.
Kelmarin Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata, Jessie tampil membuat laporan polis selepas menerima ugutan di media sosial.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dzulkefly berkata, KKM amat berharap integriti dan kredebiliti profesion perubatan yang berkhidmat berdasarkan fakta dan prinsip sains wajar dihormati dan diiktiraf masyarakat.
“Kita boleh pertikai apa-apa sahaja, tak mengapa, tetapi sampai ke paras buli secara siber itu, bagi saya sangat tidak wajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE