JAKARTA – Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati telah digugurkan daripada jawatan hari ini sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet lebih meluas, lapor saluran berita CNA
Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi mengumumkan pemecatan Sri Mulyani sejurus sebelum Presiden Prabowo Subianto mendengar angkat sumpah Purbaya Yudhi Sadewa sebagai pengganti.
Purbaya merupakan Ketua Perbadanan Deposit Insurans Indonesia sejak 2020. Sebelum itu, beliau berkhidmat dalam pelbagai portofolio di beberapa kementerian, termasuk timbalan menteri di kementerian maritim dan pelaburan.
Purbaya yang memiliki ijazah sarjana dan kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Universiti Purdue, juga pernah dilantik sebagai ketua eksekutif syarikat broker milik negara, Danareksa Securities.
Sri Mulyani pula adalah salah seorang menteri kewangan Indonesia yang paling lama berkhidmat dan telah bekerja di bawah tiga presiden.
Beliau mendapat pujian kerana mereformasi sistem percukaian dan peranannya dalam mengemudi ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mengharungi beberapa krisis, termasuk pandemik dan krisis kewangan global.
Sri Mulyani juga pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan Bank Dunia.
Penyingkirannya berlaku selepas dua minggu pergolakan di seluruh negara dan tuntutan penunjuk perasaan untuk sistem cukai yang lebih adil.
Semasa beberapa protes pada akhir Ogos lalu, perusuh memecah masuk rumah Sri Mulyani di Tangerang Selatan, dekat Jakarta.
Jirannya berkata, rumah itu diserbu dalam dua gelombang. Yang pertama melibatkan puluhan motosikal ditunggang oleh dua hingga tiga orang setiap satu dan kedua melibatkan kira-kira 150 orang.
Sebuah televisyen, sistem bunyi, hiasan ruang tamu dan pakaian adalah antara barangan yang diambil oleh mereka. – AGENSI