KUALA LUMPUR – Malaysia akan menamatkan penyertaan dalam misi pengaman oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) selepas mandat berkenaan berakhir tahun hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan tersebut susulan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersetuju untuk melanjutkan mandat UNIFIL untuk tempoh setahun lagi kepada Malaysia sehingga tahun 2026.
“Ini bermakna kita akan hantar satu lagi pasukan (Batalion Malaysia) tahun depan dan selepas itu kita tidak akan lagi ada UNIFIL di Lebanon.
“Kita akan lihat pada proses untuk pengunduran untuk mereka (pasukan Mallbatt) balik serta urusan berkaitan,”katanya pada sidang akhbar selepas melawat Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Sungai Besi, hari ini.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 2790 yang melanjutkan mandat UNIFIL sehingga 31 Disember 2026.
Keputusan tersebut dilakukan sebelum proses pengunduran dan penarikan keluar sepenuhnya dilakukan dalam tempoh setahun selepas tarikh tersebut.
Resolusi berkenaan turut menetapkan pembubaran UNIFIL selepas fasa pengunduran, dengan mengekalkan pasukan pengawal terhad bagi melindungi kakitangan, fasiliti dan aset, bersama kerjasama rapat dengan angkatan tentera serta pasukan keselamatan Lubnan.-KOSMO! ONLINE