PUTRAJAYA – Kementerian Digital mempergiat usaha memperkukuh keupayaan forensik digital negara dengan pelancaran Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia, hari ini.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, makmal berkenaan akan mengumpul dan menganalisis data kenderaan bagi membantu siasatan, khususnya dalam insiden kemalangan jalan raya.
Katanya, data tersebut dapat menyelesaikan siasatan, mengenal pasti punca kejadian serta memperbaiki punca-punca kemalangan boleh terjadi.
“Antara data yang dikumpulkan adalah seperti prestasi enjin, corak pemanduan, kedudukan GPS dan rakaman kamera. Dengan data itu, kita dapat menyelesaikan masalah tersebut dari sudut siasatan.
“Kita juga dapat melihat apakah punca yang telah membawa kepada insiden tersebut dan kita dapat mengambil langkah-langkah bagi memastikan kekurangan yang wujud dan membawa kepada kemalangan dapat kita perbaiki,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Makmal Forensik Kenderaan di sini, hari ini.
Tambahnya, data tersebut turut dapat digunakan untuk memberi penilaian dari segi penggunaan teknologi ramalan atau predictive technologies.
“Teknologi itu akan membantu meramal risiko kemalangan dan memperkukuh aspek keselamatan automotif negara,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind berkata, makmal tersebut akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan penyelidikan dan siasatan.
“Kerjasama tersebut penting bagi menyokong siasatan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang melibatkan kenderaan. Sistem ini disokong sepenuhnya oleh kementerian agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh badan-badan penyiasat,” katanya.- KOSMO! ONLINE