JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Seputih Mataram, wilayah Lampung gempar apabila kubur yang menempatkan jenazah seorang warga emas digali sehingga menampakkan kain kafan, lapor laman berita Liputan6 hari ini.
Penemuan itu dibuat pada Jumaat lalu dan video mengenainya dimuat naik di laman sosial.
Kubur tersebut menempatkan jenazah warga emas dikenali sebagai Mbah Taryuni, yang berusia 89 tahun ketika meninggal dunia.
Dalam rakaman video, kubur tersebut dilihat mempunyai kesan tanah digali dan berlubang sehingga menampakkan kain kafan berwarna putih.
Bahkan, papan kayu yang menutupi bahagian kepala jenazah turut dibuka.
“Kubur itu digali. Saya tidak tahu siapa yang melakukannya. Ia telah digali malam tadi,” kata perakam video itu.
Sementara itu, Ketua Polis Lampung Tengah, Asisten Komisioner Kanan Alsyahendra, mengesahkan kejadian itu.
“Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan kini sedang mengumpul keterangan saksi,” kata Alsyahendra hari ini.
“Berdasarkan maklumat awal, polis menemui petunjuk bahawa tali kain kafan di kepala jenazah hilang, disyaki diambil oleh pelaku,” tambahnya. – AGENSI