BERLIN – Sebuah kampung yang mempunyai kira-kira 600 penduduk di Jerman hangus akibat disambar kilat, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.
Kebakaran besar melanda kampung itu malam Khamis lalu, memusnahkan tiga buah rumah dan beberapa bangsal.
Penduduk melaporkan mendengar bunyi dentuman sangat kuat dan langit tiba-tiba cerah seperti waktu siang, demikian menurut stesen penyiaran awam MDR Thuringen.
Kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan mencecah 1 juta euro (RM4.94 juta).
Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian sejurus selepas tengah malam dengan seramai 150 anggota yang berusaha memadamkan api.
Kebakaran itu menyebabkan 18 orang, berusia antara 2 hingga 96 tahun, hilang tempat tinggal.
Menurut seorang datuk bandar, Tom Zimmermann, kilat dipercayai menjadi punca kebakaran.
Difahamkan, kilat menyambar sebuah bangsal ketika ribut petir melanda kawasan itu. – AGENSI