COLOGNE – Jerman kembali menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Ireland Utara 3-1 dalam aksi kelayakan di RheinEnergies Stadion awal pagi tadi.
Tiga gol menerusi Serge Gnabry, Nadiem Amiri dan bintang Liverpool, Florian Wirtz memastikan skuad Die Mannschaft mengutip tiga mata pertama bagi menghuni tangga ketiga Kumpulan A di belakang Ireland Utara dan Slovakia.
Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann mengakui agak kecewa dengan tindakan penyokong mencemuh pasukan di separuh masa pertama meskipun faham apa yang dirasai ketika menyaksikan aksi hambar itu.
“Saya faham apa yang dimahukan penonton kerana mereka mahu melihat aksi berbeza. Mereka membayar harga tiket yang mahal, jadi mereka mengharapkan aksi lebih berbeza daripada pasukan, jadi saya faham.
“Bagaimanapun, saya ingin memberitahu bahawa cemuhan serta kata-kata seperti itu langsung tidak membantu pasukan, terutamanya ketika baru habis separuh masa pertama. Ia beri kesan mental kepada pemain,” katanya.
Biarpun mengutip tiga mata pertama tetapi Jerman masih belum boleh berasa selesa memandangkan hanya pasukan teratas setiap kumpulan akan mendapat tiket automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
“Masih banyak yang perlu dihadapi untuk kami mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia. Bagaimanapun, sebagai jurulatih, saya mendapat banyak pengajaran pada perlawanan hari ini,” ujar Nagelsmann. – AGENSI