fbpx
Antara motosikal elektrik keluaran syarikat GGR Motor.

GGR Motor mahu jadi pengeluar utama motosikal EV di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – GGR Motor komited untuk menjadi syarikat pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama di negara ini selepas menerima sokongan penuh daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu seiriing dengan lawatan Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan (WP), Eric Jusiang ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala, baru-baru ini.

Jelasnya, lawatan itu bertujuan mendedahkan pihak berkuasa secara lebih dekat dengan proses pemasangan motosikal EV disamping meninjau operasi kilang GGR Motor sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama tempatan.

“Ini merupakan lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami dan diharap kerjasama ini dapat melancarkan urusan prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran motosikal EV mengikut undang-undang ditetapkan.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kesudian pihak JPJ WP meluangkan masa melawat kilang kami. Ia ibarat penghargaan terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan luar biasa terhadap model sulung, Lion G1, telah mencatat lebih 2,500 unit tempahan dalam masa seminggu selepas pelancaran.

Ujar beliau, permintaan itu membuktikan motosikal elektrik buatan tempatan mampu bersaing, dengan kualiti tinggi pada harga mampu milik.

Malah katanya, bagi memenuhi permintaan, GGR Motor bakal membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung, di atas tapak seluas lebih satu ekar yang akan menjadi hab pengeluaran utama bagi model Lion G1 serta beberapa model baharu akan datang.

“Kilang ini dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu, khusus dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.

“Usaha ini turut diperkuatkan melalui kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia, merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Mussaddiq berkata, geran serta nombor pendaftaran motosikal EV jenama Lion G1 keluaran GGR Motor boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

“Kita jangkakan dalam tempoh terdekat, motosikal EV yang ditempah sudah boleh didaftarkan. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN