KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan kaedah tangkapan, tuntutan semula, adopsi atau serahan kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta pelupusan [TRRD] dalam pengurusan anjing terbiar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kaedah itu pada dasarnya melibatkan penangkapan haiwan terbiar, tempoh tuntutan semula haiwan oleh pemilik asal dan cadangan adopsi oleh pihak yang bertanggungjawab.
Jelas beliau, proses pelupusan secara beretika pula merupakan kaedah terakhir sekiranya haiwan tersebut didapati agresif, berpenyakit, terlalu uzur atau tidak sesuai untuk diadopsi.
“Bagi anjing yang tidak dituntut semula oleh tuan anjing atau diadopsi oleh orang ramai, PBT boleh menyerahkan anjing berkenaan kepada NGO tertentu mengikut kapasiti keupayaan dan kewangan pusat perlindungan haiwan NGO tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi maklumat tambahan secara bertulis bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berkenaan selenggaraan kawasan taman awam dan kemudahan rekreasi supaya bebas vandalisme dan binatang liar pada sidang Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Kor Ming berkata, KPKT telah menyediakan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2014 (Pindaan Tahun 2022)
Menurut beliau, pemakaiannya menepati keperluan semasa dan bersekali dengan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing oleh PBT mengikut kawasan pentadbiran masing-masing.
Kata beliau, garis panduan itu dirangka secara komprehensif melibatkan input JPV, NGO, Pencinta Haiwan dan wakil-wakil PBT serta selaras dengan peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang dikemas kini pada tahun 2022.
“Usaha berterusan menerusi kaedah TRRD ini akan dilaksanakan bagi mengekang pertambahan populasi anjing terbiar bagi mengatasi kegusaran masyarakat setempat terhadap kes gigitan anjing, masalah kacau ganggu dan keselamatan kepada komuniti.
“Kerjasama strategik bersama jabatan dan NGO juga sentiasa dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan perkongsian sumber, kepakaran dan usaha secara holistik mencerminkan kesepakatan, keprihatinan dan ihsan Kerajaan Madani dalam usaha mengawal populasi anjing terbiar di kawasan PBT,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PBT menerima sebanyak 37,538 aduan kacau ganggu anjing terbiar sepanjang tahun lalu.
Katanya, sebanyak 15,815 jumlah operasi telah dilaksanakan dan 66,264 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19,354 ekor anjing
diserahkan kepada JPV, dituntut semula oleh pemilik dan diadopsi melalui program anjing angkat.
Ujar beliau, PBT mengambil langkah komprehensif iaitu pengawalan, pemantauan dan penangkapan anjing terbiar secara berkala, konsisten dan mengambil tindakan pantas kepada aduan orang awam.- KOSMO! ONLINE