ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima aduan kenaikan barang keperluan di bawah program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan MyKasih di negeri ini.
Presidennya, Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan tersebut di kedai dan pasar raya di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.
“Ada pengguna mengadu sabun basuh pakaian dulu RM16 tetapi sekarang RM19. Aduan turut diterima mengenai harga telur kerana ada kedai menjual sepapan telur gred A sebelum Sara RM12 tetapi sekarang RM11 tetapi gred C.
“Jelas sekali ada pihak cuba mengambil kesempatan dalam perkara ini untuk meraih keuntungan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, Cake berharap pihak terlibat sentiasa memantau kedai-kedai mahupun pasar raya yang turut serta dalam Sara dan MyKasih.
“Telur sekarang diapungkan jadi ada pihak ambil kesempatan. Kita rasa barang di bawah Sara dan MyKasih ini terlepas pandang daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup. Jadi kita minta supaya mereka ambil tindakan ke atas pihak terlibat demi menstabilkan harga barang,” ujarnya.
Beliau berharap pengguna terlibat membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga barang. – KOSMO! ONLINE