fbpx
ALCARAZ

Alcaraz juara Terbuka AS, rampas No. 1 dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW YORK – Bintang No. 1 dunia, Carlos Alcaraz kembali menguasai gelanggang Flushing Meadows selepas menewaskan seteru utamanya, Jannik Sinner dalam aksi final Terbuka Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Pemain tenis Sepanyol berusia 22 tahun itu mempamerkan servis kental untuk mencatat kemenangan 6-2, 3-6, 6-1, 6-4, sekali gus merampas semula gelaran yang dimenanginya pada 2022.

Pertemuan itu merupakan final ketiga mereka musim ini selepas di Roland Garros dan Wimbledon, namun kali ini Alcaraz lebih dominan dengan corak permainan agresif yang mengekang kebangkitan Sinner.

“Saya rasa jumpa awak lebih banyak daripada keluarga saya sendiri. Ia satu penghormatan dapat berkongsi gelanggang dengan awak,” kata Alcaraz sejurus kemenangan sambil mengakui persaingan dengan Sinner sudah menjadi antara naratif utama tenis dunia.

Kejayaan itu juga membawa Alcaraz ke koleksi enam kejuaraan Grand Slam, menjadikannya pemain kedua terpantas dalam sejarah selepas Bjorn Borg mencapai angka tersebut.

Lebih manis, kemenangan di New York membolehkan Alcaraz kembali merampas ranking nombor satu dunia daripada Sinner yang memegang takhta itu selama 65 minggu.

Sinner cuba bangkit pada set kedua, namun gagal mengekalkan momentum dan terpaksa akur selepas menyelamatkan dua mata kejuaraan sebelum Alcaraz menamatkan aksi dengan ace berkelajuan 131 batu sejam.

Dengan kedua-duanya kini berkongsi dua gelaran Grand Slam sepanjang musim 2025, pertarungan Alcaraz-Sinner terus menghidupkan era baharu tenis lelaki yang penuh persaingan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN