fbpx
WILKIN

Wilkin sanggup berkorban lupakan posisi kegemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TONGGAK skuad Harimau Malaya, Stuart Wilkin tidak kisah untuk terus menjadi ‘bidan terjun’ beraksi di posisi bukan kegemarannya jika diperlukan oleh barisan kejurulatihan pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin, malam esok.

Sebagai rekod, pengendali skuad negara, Peter Cklamovski membuat kejutan apabila meletakkan Wilkin di posisi sayap-bertahan pada aksi bertemu Singapura yang menyaksikan skuad negara menang 2-1, Khamis lepas.

Pemain tengah pasukan Sabah FC itu membalas kepercayaan tersebut dengan meledak satu gol sebelum membuat hantaran tepat buat Joao Figueiredo menjaringkan gol kemenangan buat pasukan.

Menurut Wilkin, beraksi di posisi sayap merangkap bek kanan pasukan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi perlu segera menyesuaikan diri sekali gus menunjukkan kebolehan yang ada.

“Ini adalah posisi yang agak janggal dengan saya tetapi saya masih perlu membalas kepercayaan jurulatih. Saya bekerja keras pada sesi latihan dan cuba berikan yang terbaik.

“Setiap kali diturunkan, saya mahu berikan seratus peratus dan itulah yang saya pamerkan pada perlawanan lepas.

“Kini, fokus utama adalah untuk bertemu Palestin dan saya harap dapat perbaiki lagi kelemahan untuk membantu pasukan dalam misi mencapai kemenangan,” kata bekas pemain akademi kelab Southampton itu.

Cklamovski dilihat melakukan eksperimen dengan meletakkan Wilkin di posisi tersebut kerana kehilangan khidmat kapten yang beraksi di posisi tersebut, Matthew Davies disisihkan pada panggilan antarabangsa kali ini kerana kecederaan.

Menjelang aksi menentang Palestin malam esok, skuad negara juga terpaksa mendapatkan percaturan terbaik selepas kehilangan dua pemain pertahanan mereka, Dion Cools dan Facundo Garces yang dilepaskan untuk kembali ke kelab masing-masing.

Kemenangan ke atas Palestin dianggap cukup penting untuk memastikan Harimau Malaya mampu mengutip lebih banyak mata sekali gus mampu melonjak kedudukan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN