fbpx
Turkiye berada pada prestasi terbaik selepas menewaskan Georgia 3-2 pada aksi kelayakan awal minggu ini.

Turkiye idam sekat penguasaan Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISTANBUL – Pengendali Turkiye, Vincenzo Montella menyeru barisan pemain untuk mempamerkan mentaliti juara menjelang aksi Kumpulan E kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol di Stadium Konya Metropolitan awal pagi esok.

Menurut Montella, pasukan Turkiye kini dipalit tekanan kerana harapan tinggi daripada peminat tanah air yang mahu menyaksikan pasukan beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 2022.

Namun, Montella mengakui cabaran kali ini nampak sukar kerana diundi bersama Sepanyol dengan hanya juara kumpulan meraih slot automatik, manakala naib juara akan bersaing di peringkat playoff.

“Saya rasa tekanan dalam aksi kelayakan adalah normal kerana negara seperti Turkiye sepatutnya ada sasaran untuk beraksi pada setiap edisi Piala Dunia. Kini, kita perlu siapkan pasukan dalam usaha memburu tiga mata penting di laman sendiri.

“Mengenai Sepanyol, saya rasa kita tidak boleh tumpukan prestasi individu seperti Lamine Yamal, Nico Williams, atau Pedri kerana kekuatan pasukan adalah mereka beraksi dalam satu unit dan mereka semua cukup berkualiti,” katanya. 

Sementara itu, pemain tengah Turkiye, Arda Guler yang mewakili kelab La Liga, Real Madrid mengakui skuad La Roja pasti gentar dengan suasana Stadium Konya Metropolitan yang cukup luar biasa.

“Saya harap kita tidak akan memberi laluan mudah buat Sepanyol. Pasukan ada misi tersendiri dan kekuatan sebenar pasukan adalah kehadiran penyokong yang boleh menaikkan motivasi pemain nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI