WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk melaksanakan kuasa Jabatan Perang yang baru dijenamakan semula ke atas bandar Chicago, negeri Illinois yang dilanda krisis jenayah.
Ia sekali gus meningkatkan lagi ketegangan berhubung desakan beliau untuk menghantar tentera ke bandar-bandar yang diterajui Parti Demokrat.
Langkah itu bertujuan meniru operasi di ibu negara, Washington, di mana Trump mengerahkan pasukan Pengawal Kebangsaan dan menambah bilangan ejen persekutuan. Ia mencetuskan tentangan balas serta protes baharu kelmarin yang menarik penyertaan ribuan peserta penunjuk perasaan.
“Chicago akan tahu kenapa ia dipanggil Jabatan Perang,” tulis Trump pada akaun Truth Social miliknya semalam.
Gabenor Illinois, JB Pritzker daripada Parti Demokrat, menyuarakan kemarahan terhadap kenyataan Trump itu.
“Presiden AS sedang mengugut untuk berperang dengan sebuah bandar raya Amerika sendiri. Ini bukan gurauan. Ini bukan perkara biasa,” tulis Gabenor JB Pritzker di platform X.
“Illinois tidak akan digentarkan oleh seorang diktator ‘wannabe’,” tambahnya.
Sementara itu, Trump menerusi Truth Social memuat naik imej dikuasakan kepintaran buatan (AI) bagi parodi filem keluaran tahun 1979 bertajuk Apocalypse Now.
Imej dinamakan Chipocalypse Now itu memaparkan beberapa helikopter terbang di langit Chicago dengan latar belakang yang kelihatan menyerupai keadaan ketika Perang Vietnam.
“Saya suka bau pengusiran pada waktu pagi,” tulis Trump. – AFP