fbpx
KEMUNCULAN Siti Nurhaliza di pentas utama festival muzik Pestapora 2025 hari ini disambut sorakan ribuan peminat setianya.

‘Saya bawa pelukan rakyat Malaysia buat kalian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Mengubat rindu peminat, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza beraksi di pentas utama festival muzik Pestapora 2025 yang berlangsung di Jiexpo, Jakarta, hari ini.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran ribuan peminat selepas sekian lama tidak menjayakan persembahan di Indonesia.

“Impian saya sudah tertunai untuk kembali menghiburkan peminat di Indonesia. Terima kasih kepada penganjur Pestapora kerana menjemput saya sehingga akhirnya berkesempatan bertemu peminat.

“Bukan sahaja peminat yang beri sokongan kepada saya tetapi artis Indonesia juga. Saya rasa dihargai ketika di sini.

“Kita sama-sama menjaga. Saya membawa pelukan rakyat Malaysia buat anda semua,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Kurik Kundi itu menyatakan pemilihan lagu dibuat khusus bagi mengembalikan memori zaman kemuncaknya di Indonesia.

“Saya memang rindukan kalian. Terima kasih memberikan semangat yang luar biasa.

“Saya pasti yang datang hari ini mendengar lagu-lagu saya. Ada yang kenal saya kerana diperkenalkan oleh ibu bapa mereka sejak kecil.

“Oleh itu hari ini, saya mahu kembalikan semula nostalgia lagu-lagu popular saya untuk dinyanyikan bersama,” ujarnya.

Kira-kira 30 minit sebelum membuka pentas, ramai peminat sudah mula memenuhi ruangan hadapan pentas bagi menyaksikan Siti.

Siti mempersembahkan 11 lagu iaitu Cindai, Biarlah Rahsia, Nirmala, Badarsila, Betapa Aku Cinta Padamu dan Wajah Kekasih.

Selain itu, Siti turut menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa, Pastikan dan Menamakanmu Cinta sambil diiringi petikan gitar dari komposer Indonesia, Ade Govinda.

Malah, dia itu juga sempat membawakan lagu ‘cover’ Malaysia yang popular di Indonesia seperti Tiara dan Gerimis Mengundang.

Momen paling manis apabila Siti menjemput penyanyi Indonesia iaitu Afgan bagi menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa.

Hampir kesemua lagu yang dilantunkan Siti mendapat sorakan hangat peminat.

Difahamkan, peminat dari Malaysia, Thailand dan Singapura juga turut hadir bagi menyaksikan persembahan hebat ibu kepada dua anak itu.

Sebelum mengakhiri konsert Siti berjanji bakal mengadakan konsert di Indonesia khas buat peminat setianya.

Kali terakhir Siti tampil di Indonesia menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan pada 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN