KANGAR – Seorang pemandu kren direman selama empat hari bermula hari ini selepas dipercayai mendera anak saudaranya menggunakan tali pinggang dalam kejadian di Kuala Perlis semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang di sebuah rumah di Jalan Kilang Ais, Kuala Perlis ketika mangsa berusia enam tahun di ruang tamu rumah.
“Mangsa memberitahu dia dipukul suspek yang merupakan bapa saudaranya di bahagian tangan kiri menggunakan tali pinggang sehingga meninggalkan kesan lebam.
“Suspek dikatakan tidak berpuas hati selepas mangsa bermain dan menconteng muka kanak-kanak itu menggunakan dengan pen marker,” katanya di sini hari ini
Difahamkan, ini bukan kali pertama mangsa menjadi mangsa dera, malah dia pernah dipukul beberapa kali sebelum ini oleh suspek.
Menurut Yusharifuddin, mangsa kini dijaga oleh ibu saudara sebelah ibu sejak berusia tiga tahun selepas ibu bapanya berpisah pada 2021 dan bapanya sedang menjalani hukuman penjara.
“Ibu kandung mangsa pula berkahwin lain pada 2022 dan menyerahkan hak penjagaan anak kepada ibu saudaranya,” katanya.
Polis telah mengeluarkan Pol.59 kepada mangsa serta adik-beradiknya untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar serta merampas satu unit penyangkut baju. – KOSMO! ONLINE