MENELUSURI pelayaran, mata tidak jemu melihat pemandangan indah di sekitar lautan Teluk Halong (Halong Bay), Vietnam yang dikelilingi pulau-pulau batu kapur berusia lebih 200 juta tahun.
Sepanjang tiga hari dua malam, bukan sekadar dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik sekitar kawasan teluk tetapi juga disulami pengalaman spiritual dan reflektif.
Bercuti atas kapal persiaran mungkin sesuatu yang sudah biasa didengari tetapi apabila disuntik dengan pengisian islamik terutama di negara bukan majoriti penduduk Islam, ia merupakan satu konsep unik dan baharu.
Berbanding kebanyakan pelayaran kapal persiaran yang membelah lautan, pelayaran ini berkonsep pelayaran khusus di kawasan kepulauan dengan menggunakan kapal persiaran. Pengunjung dari Malaysia terlebih dahulu terbang dengan pesawat dan mendarat di lapangan terbang Noi Bai International Airport, Hanoi.
Seorang suri rumah, Nor Hariani Mohamad, 48, menyifatkan, ini kali pertama dia bersama keluarga menyertai percutian atas kapal sambil mendapat pengisian rohani.
“Ia sesuatu yang unik kerana kita tahu bahawa Vietnam bukan negara majoriti penduduk Islam. Apabila ada konsep pelayaran Islamik ini kita dapat melancong tanpa was-was tentang isu halal.
“Apa yang menarik juga konsep pelayaran ini bukanlah terlalu ‘zuhud’ kepada aktiviti Islamik sahaja tetapi tetap diselitkan dengan elemen hiburan yang dibenarkan oleh syarak,” katanya ketika ditemu bual semasa mengikuti IslamiCruise Halong Bay Media Trip di Halong Bay Vietnam baru-baru ini.

Para peserta terlebih dahulu menaiki kapal terbang ke Hanoi, tidur semalam di bandar itu sebelum menaiki bas ke jeti Teluk Halong bagi menaiki kapal persiaran.
Sepanjang pelayaran, kapal akan berlayar di sekitar teluk Halong dan berhenti ketika waktu solat (bagi menetapkan kiblat), melakukan aktiviti bersiar dan aktiviti malam.
Nor Hariani bersama suami dan anak bongsunya mengakui bahawa percutian kali ini lebih memberi ketenangan bukan hanya kerana pengisian rohani tetapi juga aktiviti-aktiviti sepanjang pelayaran.
Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang pelayaran adalah meneroka gua batu kapur terbesar di Teluk Halong iaitu Gua Sung Sot (Surprise Cave) di Pulau Bo Hon. Pulau ini terkenal dengan stalaktit dan stalagmit yang unik serta pemandangan indah apabila berada di paras tertinggi gua.
“Selain itu kami juga berpeluang mengikuti aktiviti paddle boat (sampan dayung atau kayak) yang merupakan salah satu tarikan paling popular kerana membolehkan pelancong mendekati pulau-pulau batu kapur, gua laut serta lagun tersembunyi yang tidak dapat dicapai dengan kapal besar.
“Kami juga dapat bersantai dan menikmati pemandangan indah di Titop Island, lokasi orang ramai boleh bersantai di pantai atau menaiki puncak pulau setinggi 400 anak tangga dan menikmati panorama 360 darjah di Halong Bay,” ujarnya.
Pengalaman sama turut dirasai Dr. Masita Arip, 51, yang pernah beberapa kali bercuti menaiki kapal persiaran.

Namun, menurutnya konsep pelayaran kali ini amat berbeza kerana ia bukanlah kapal besar yang berlayar di laut luas tetapi cukup mewah menyusuri lautan Teluk Halong.
Kongsinya, dengan segala kemudahan dan aturcara yang disenaraikan dia dan suami merasakan pelayaran ini lebih dekat dengan jiwa mereka.
“Sepanjang di atas kapal, banyak perkara yang dapat kami pelajari terutama daripada ustaz dan ustazah yang dijemput bersama menaiki pelayaran ini.
“Kami juga tidak perlu was-was kerana pengalaman pelayaran ini mematuhi syariah dengan ciri seperti makanan dengan sijil halal, ruang solat menghadap kiblat, kuliah agama, tazkirah, serta aktiviti rohani seperti qiyamulail (solat malam),” jelasnya.
Ujarnya lagi, meskipun terdapat pelbagai aktiviti disusun oleh penganjur, ia bukanlah wajib untuk disertai dan pelanggan punyai kebebasan untuk mengikut program atau sebaliknya.
Selain berlayar di atas laut, percutian meliputi keseluruhan 5 hari 4 malam itu turut membawa pelanggan meneroka bandar Hanoi, membeli-belah di sana dan singgah di Masjid Al-Noor di Hanoi iaitu masjid bersejarah dan satu-satunya di Hanoi serta Vietnam Utara.
Pelayaran Islamik di Teluk Halong merupakan antara pakej percutian ditawarkan peneraju pelayaran Islamik halal pertama di dunia, IslamiCruise International Sdn Bhd.
Menetapkan piawaian baharu dalam pelancongan halal melalui konsep pelayaran mesra Muslim, pengasasnya, Suhaimi Abd. Ghafer memberitahu pelayaran Islamik yang kini memasuki siri ke 55.0 dan 56.0, masing-masing ‘berkembar’ dengan tokoh ilmuan seperti Syeikh Muhd. Zainul Asri atau Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin.
Katanya, ia adalah pengalaman spiritual dan reflektif termasuk aktiviti seperti ceramah, qiyamulail, forum muzik Islamik, gala dinner eksklusif dan pengedaran ‘sailor pack’ berisi sejadah, tasbih dan kompas kiblat.
“Kapal persiaran yang kami gunakan juga adalah Golden Cruise yang merupakan kapal pelayaran berstatus premium 5 bintang di Teluk Halong, dikenali sebagai ‘hotel terapung’ terbesar di kawasan itu,” ujarnya.
Jelasnya, pemilihan Halong Bay sebagai lokasi pelayaran Islamik adalah kerana keindahan dan keunikan geografinya serta kemeriahan pakej-pakej pelayaran di situ yang majoritinya tidak mesra Muslim.
Oleh demikian, dia mengambil insiatif itu bagi membuka trend baharu pelayaran serta peluang untuk melancong ke Vietnam tanpa was-was tentang status halal. Pada masa sama membuka jalan dakwah dan menunjukkan kepada orang ramai yang orang Islam juga boleh bercuti dengan cara tersendiri meskipun bukan di negara majoriti penduduk Islam.









