MENAMBAH kemahiran dan keberanian dalam diri membuatkan pelakon muda, Abbas Mahmood memilih untuk terlibat dalam aktiviti lasak, paragliding atau luncur layar.
Bagi pelakon filem Malbatt:Misi Bakara itu penglibatan dalam kegiatan berkenaan dapat mengukuhkan portfolio sebagai pelakon, sekali gus menyerlahkan pesona sebagai anak seni.
Sejak 2023, Abbas aktif dengan sukan luncur layar yang menuntut ketelitian, disiplin dan keberanian terutamanya ketika berada di ketinggian kira-kira 800 meter dari aras laut.
Kongsi pemuda berusia 26 tahun itu, filem aksi Paskal yang diterbitkan pada 2018 telah membuka matanya untuk terlibat dengan aktiviti lasak.
“Walaupun waktu itu saya hanya terlibat sebagai pelakon tambahan, namun saya tetap menjalani latihan ala tentera sama seperti pelakon utama.
“Dari situ, timbul minat untuk mendalami aktiviti ekstrem seperti menyelam dan sekarang paragliding.
“Untuk menjadi seorang pelakon versatil, saya perlu ada kemahiran dan pengetahuan untuk dijadikan sebagai kelebihan.
“Lagi pun, saya sedar rupa saya tidak sekacak pelakon lain.
“Sebab itu, saya perlu ada ‘daya penarik’ untuk ditonjolkan,” katanya ketika ditemui CitaRasa pada majlis tayangan perdana filem Legasi: Bomba The Movie baru-baru ini.
Untuk mahir dalam sukan itu, Abbas masih perlu melepasi beberapa ujian penerbangan bagi membolehkannya mendapatkan lesen asas PL1, sebelum ke peringkat seterusnya iaitu PL2 (pertengahan), PL3 (lanjutan) dan PL4 (jurulatih).
Difahamkan, untuk lesen tersebut Abbas perlu melakukan sekitar 40 hingga 60 kali penerbangan bagi memastikan dia benar-benar menguasai teknik berlepas (take off) dan mendarat (landing).
“Proses latihan bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah melibatkan ketahanan mental kerana aktiviti ini sangat mementingkan soal keselamatan.

“Sewaktu latihan, saya pernah mengalami masalah apabila berlaku sedikit kesilapan dan mengakibatkan kegagalan fungsi sehingga menyebabkan payung tersangkut pada pokok.
“Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan akibat insiden itu, hanya mengalami lenguh pada beberapa anggota badan,” ujarnya yang menjalani sesi latihan di 3A Adventures di Bukit Bubus, Terengganu.
Bercerita soal kos, aktiviti luncur layar boleh dianggap sebagai sukan ‘kayangan’. Ini kerana bayaran lesen asas sahaja sudah menelan belanja sekitar RM3,500, manakala peralatan utama seperti sayap paralayang (wings) boleh mencecah harga RM10,000, sementara abah-abah (harness) pula RM5,000.
Anggaran tersebut tidak termasuk kelengkapan lain seperti parasut keselamatan, topi keledar, alat sistem kedudukan sejagat (GPS), baju terbang dan but.
“Memang bayarannya agak mahal, namun saya hanya membelanjakan kos lesen, sementara kelengkapan lain disediakan oleh pihak 3A Adventures.
“Bagi sesiapa yang ingin mencuba sukan ini, anda boleh mencuba di Bukit Bubus dan merasai pengalaman paragliding dengan bayaran hanya RM150,” ujarnya.
Terlibat dalam sukan lasak tentu sahaja menimbulkan rasa gusar di hati isteri Abbas, Alana Dunsmore.
Namun, itu tidak menghalang Abbas untuk meneruskan minatnya terhadap aktiviti luncur layar, sekali gus menyakinkan Alana tentang keselamatannya.
“Apabila kita berada di udara, kawalan payung itu seperti juruterbang, cuma bezanya tiada enjin.
“Disebabkan itu, keselamatan sangat penting, dan kita perlu tahu tentang arah angin, jenis awan dan pengetahuan fizik bagi mengelak berlaku kemalangan.
“Sewaktu mula-mula terlibat dengan sukan ini, isteri memang ada meluahkan kebimbangan.
“Namun, saya nasihatkan dia bahawa kematian itu pasti akan berlaku tidak kira di mana pun.
“Jadi, lebih baik kita memanfaatkan kehidupan dengan perkara berfaedah dan insya-Allah kalau ditakdirkan ‘pergi’, dengan izin Allah SWT semoga kami disatukan semula di syurga nanti,” katanya sambil tersenyum.
Abbas turut menyimpan hasrat untuk melakukan aktiviti luncur layar di negara kelahiran isterinya, Scotland dan ingin mengambil lesen payung terjun dari pesawat (skydiving).














