JERLUN – Remaja yang hilang selepas jentera mesin padi terhumban ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Ayer Hitam di sini semalam akhirnya ditemukan lemas kira-kira 10 meter dari lokasi dia terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, mangsa, Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, dijumpai di dasar sungai pada kedalaman empat meter pada pukul 10 pagi tadi.
“Pencarian hari ini lebih mencabar berikutan arus deras sebelum ini, namun syukur kerana mangsa tidak dihanyutkan jauh.
“Kita perluaskan radius pencarian dengan bantuan pasukan dari BBP Sungai Petani,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Seramai 41 anggota termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan polis terlibat dalam operasi itu. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas pengecaman dibuat oleh keluarga mangsa.
Proses bedah siasat akan dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah.
Sementara itu, suasana di lokasi kejadian bertukar hiba apabila ibu bapa Amsyar Muqri tiba untuk membuat pengecaman sejurus selepas mayat remaja lelaki tersebut ditemukan. – KOSMO! ONLINE