fbpx
SERBUAN dilakukan di kilang Hyundai, Georgia, Khamis lalu. - Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan

Korea Selatan ikrar ‘selamatkan’ ratusan pekerja ditahan di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEOUL – Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung mengarahkan usaha habis-habisan dilakukan sebagai tindak balas terhadap penahanan ratusan rakyat negara itu dalam serbuan imigresen di sebuah kilang Hyundai di Georgia, Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita NBC News semalam.

Sekumpulan ejen persekutuan dan imigresen menahan seramai 475 orang, dengan kebanyakannya warganegara Korea Selatan ketika melaksanakan waran geledah. Ia adalah sebahagian daripada siasatan jenayah berhubung dakwaan penggajian haram di kilang berkenaan.

Dalam mesyuarat tergempar kerajaan semalam, Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun berkata,  beliau amat bimbang dan merasakan tanggungjawab yang berat terhadap penahanan tersebut.

Kementerian Luar memberitahu NBC News bahawa kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan tindak balas, manakala Hyun bersedia untuk berkunjung ke Washington bagi bertemu pegawai jika perlu.

Beliau turut mengulangi kenyataan terdahulu yang dibuat oleh Jae-Myung bahawa hak rakyat Korea Selatan tidak boleh dicabuli secara tidak adil.

Serbuan itu adalah sebahagian daripada tindakan keras pentadbiran Presiden AS, Donald Trump terhadap imigran. Ia merupakan operasi penguatkuasaan terbesar di sebuah lokasi dalam sejarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Puluhan ejen daripada beberapa agensi termasuk Penguat Kuasa Kastam dan Imigresen (ICE) pada Khamis lalu menyerbu tapak di bandar Ellabell. Ia merupakan tempat Hyundai dan syarikat LG Energy Solution sedang membina sebuah kilang bateri bersebelahan dengan kilang pembuatan kenderaan elektrik.

Syarikat LG Energy Solution berkata, seramai 47 orang pekerjanya telah ditahan, dengan 46 daripadanya adalah rakyat Korea Selatan.

Seramai 250 kakitangan daripada syarikat rakan peralatan, kebanyakannya warga Korea Selatan turut ditahan.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya di semua peringkat untuk pembebasan segera kakitangan kami dan pekerja firma rakan kongsi yang ditahan,” kata syarikat itu.

Hyundai pula berkata bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang ditahan merupakan pekerja yang diambil bekerja secara langsung oleh syarikat itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI