BERGAMO – Pengurus Itali, Gennaro Gattuso bertegas pasukannya tidak akan mampu melangkah lebih jauh sekiranya gagal untuk mengembalikan aura sebenar yang pernah dimiliki bekas juara dunia itu.
Walaupun berjaya meraih kemenangan 5-0 ke atas Estonia, Gatusso belum berasa puas dengan kemenangan itu kerana ia seakan tidak memadai dengan kualiti yang ada pada para pemainnya.
“Saya risau apabila separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, namun pasukan kami mampu mengembalikan semua aksi terbaik. Bagi saya pemain berjaya bermain dengan cukup bagus.
“Seperti yang sering saya katakan, pasukan ini memiliki kualiti, tetapi kami tidak akan mampu pergi ke mana-mana jika hanya bersandarkan kepada kualiti.
“Pasukan perlu lakukan segala-galanya, tunjukkan kesungguhan, lakukan serangan, beri tekanan dan saya juga dapat lihat mereka sentiasa ada kemahuan untuk dapatkan kejayaan,” katanya.
Pada perlawanan itu, penyerang kelahiran Argentina, Mateo Retegui menyumbangkan dua gol buat skuad Gli Azzurri diikuti satu jaringan daripada Moise Kean, Giacomo Raspadori dan Alessandro Bastoni.
“Terdapat banyak tekanan tetapi itu adalah perkara biasa dan saya cuba laluinya dengan cara lebih positif. Saya bernasib baik kerana sejak hari pertama saya dan barisan kejurulatihan sertai pasukan, segalanya berada dalam keadaan baik,” katanya. – AGENSI