fbpx
AQRA (kiri) pernah ditidurkan selama seminggu kerana mengalami pendarahan berterusan dari hidungnya.

Aqra perlukan RM220,000 beli ubat lawan kanser saraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Lima beradik dari Kampung Rembia dekat sini bukan sahaja terpaksa mengorbankan fasa ceria kanak-kanak, tetapi perlu berjauhan dengan ibu kandung yang terpaksa mencari rezeki bagi menampung kos rawatan anak keempat, Muhammad Aqra Rizki Yuraimi, 5, yang menghidap kanser saraf (Neuroblastoma).

Yuraimi Yusof, 44, berkata, Aqra diuji dengan penyakit pembunuh tahap empat itu sejak awal tahun ini dan isterinya, Noranizawaty Suliman, 35, membantu mencari wang perbelanjaan keluarga dengan bekerja di kantin sebuah institusi pengajian tinggi bersama bapa saudaranya di Pagoh, Johor.

Katanya, dia pula terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai kontraktor am demi menguruskan anak-anak termasuk membawa Aqra ke Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku

Aishah Rohani di Kuala Lumpur untuk rawatan.

“Kesemua lima anak saya yang berusia 11, 10, 8, 5, 3 tahun tidak lagi menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. Saya tidak lagi membawa mereka berjalan-jalan atau berbelanja kerana setiap simpanan yang ada untuk kegunaan Aqra.

“Aqra pula memerlukan ubat Qarziba Beta berharga RM350,000 bagi lima botol untuk menjalani rawatan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba) yang dijadualkan bermula bulan ini. Ubat ini tidak disubsidikan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rembia baru-baru ini.

Tambahnya, dia sekeluarga yang dibelenggu dengan masalah kewangan pernah meminta bantuan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi ada yang mengambil kesempatan.

Susulan itu katanya, dia baru-baru ini telah berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem untuk meminta bantuan kutipan sumbangan dan sehingga kini pihak­nya dapat melunaskan pusingan pertama rawatan Qarziba seba­nyak RM130,000.

“Selain isteri saya, ibu juga membantu kami dengan memberikan sebahagian wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 yang diperolehnya, tetapi ia masih belum mencukupi sampai ada kalanya saya membawa Aqra ke hospital dengan bas sahaja.

“Kami tidak mempunyai kereta, hanya sebuah motosikal dan memang sebelum ini saya, isteri dan Aqra tiga beranak tunggang motosikal ke hospital,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai penyakit itu, Yuraimi berkata, kanser tersebut dikesan selepas Aqra mengalami demam panas yang berulang pada September tahun lalu dan ujian darah dilakukan.

“Doktor buat ujian darah dan menjumpai ketumbuhan pada buah pinggang yang kemudiannya disahkan kanser. Aqra sebelum ini juga pernah ditidurkan selama seminggu di Unit Rawatan Rapi

Pediatrik (PICU) kerana mengalami pendarahan berterusan yang keluar dari hidungnya.

“Bermula Januari lalu, dia jalani pusingan pertama rawatan kimoterapi dan itulah detik paling sedih apabila rambut dia mula gugur dan dia bertanyakan hal itu kepada saya, malah meminta agar saya belikan rambut palsu,” ujarnya.

Menurut Yuraimi, dia telahpun mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan membuat permohonan bagi sumbangan JKM.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam 04024029371297 atas penama Yuraimi Yusof atau hubunginya di talian 018-763 6205.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN