BANGKOK – Taikun perniagaan, Anutin Charnvirakul mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand hari ini ketika pemimpin konservatif itu menyingkirkan dinasti politik dominan negara tersebut dan menetapkan hala tuju pilihan raya pada awal tahun depan.
Sejak pilihan raya 2023, pejabat tertinggi Thailand dimonopoli oleh Parti Pheu Thai daripada dinasti Shinatawatra. Ia merupakan sebuah kuasa populis yang telah lama bertelingkah dengan pertubuhan pro monarki dan pro tentera.
Pewaris dinasti tersebut, Paetongtarn Shinawatra dipecat oleh mahkamah bulan lalu, manakala Anutin bergegas untuk menyatukan kerajaan gabungannya sendiri selepas memenangi undian Parlimen Jumaat lepas untuk menyekat wakil Pheu Thai daripada jawatan.
“Walaupun kita tidak mempunyai banyak masa, saya berharap dapat menerima kerjasama daripada semua orang,” kata Anutin kepada pemberita selepas memegang jawatan tersebut semalam.
“Kerajaan saya akan bekerja tanpa jemu. Kami akan mengabdikan diri untuk bekerja kerana kami hanya mempunyai empat bulan,” tambahnya.
Penggal beliau secara rasmi bermula selepas menerima perkenan diraja daripada Raja Maha Vajiralongkorn, yang dibacakan dengan kuat dalam satu majlis rasmi di ibu pejabat Parti Bhumjaithai di Bangkok.
“Raja Thailand telah memperkenankan Anutin untuk menjadi Perdana Menteri mulai sekarang,” kata Setiausaha Agung Dewan Rakyat, Arpath Sukhanunth ketika membacakan titah diraja.
Anutin, 58, pernah menjadi sekutu keluarga Shinawatra yang muncul sebagai kuasa dominan dalam politik Thailand sejak awal abad ini, namun meninggalkan gabungan Parti Pheu Thai pada musim panas lalu.
Tindakan itu dipercayai diambil ekoran berasa marah terhadap tindakan Paetongtarn ketika mengendalikan pertikaian sempadan dengan negara jiran, Kemboja.
“Kerajaan saya akan berpegang kepada undang-undang dan tidak akan campur tangan dalam sistem keadilan, membiarkan undang-undang berjalan sebagaimana sepatutnya,” kata Anutin. – AFP