KULAI – Bersimpati dengan nasib Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong 1, di sini yang kehilangan van jenazah sebelum hancur remuk terlibat kemalangan, Khamis lalu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching terpanggil menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada surau tersebut.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, sebuah syarikat swasta dari daerah tersebut turut menghulurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada pengurusan surau berkenaan.
“Saya telah meluluskan peruntukan dan pada masa sama sebuah syarikat tampil beri bantuan. Saya harap dengan jumlah keseluruhan bantuan RM20,000 ini dapat membantu mereka,” katanya selepas menyerahkan cek cura kepada Pengerusi surau, Mohd. Anuar Repan, hari ini.
Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, van jenazah jenis Toyota Hiace itu dipercayai dicuri di surau berkenaan oleh suspek berusia 21 tahun antara 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Bagaimanapun, katanya, van jenazah yang dilarikan suspek itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kira-kira 2.30 pagi di Jalan Skudai, di sini.
Mohd. Anuar berkata, sumbangan tersebut amat bermakna buat surau tersebut selain dapat membantu usaha mereka bagi mendapatkan kenderaan baharu. – KOSMO! ONLINE