IPOH – Cadangan menukar ruang pejabat kosong kepada kediaman disifatkan sebagai langkah baik untuk menghidupkan semula bangunan lama di bandar raya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, transformasi itu mampu memberi nilai tambah kepada bandar raya dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menghidupkan kembali suasana perbandaran.
“Sekiranya menjalani transformasi menjadi bangunan residensi, ia akan bantu kita bawa penduduk tinggal dalam kota dan mereka boleh berjalan kaki ke tempat kerja.
“Malah, bangunan lama juga tidak lagi menjadi imej buruk kepada bandar raya. Bagaimanapun, syarat keselamatan perlu diberi keutamaan khususnya di bawah Akta Bomba.
“Kita perlu pastikan apabila ruang pejabat ditukar kepada kediaman, premis itu perlu mematuhi syarat-syarat kebombaan kerana tiada kompromi dalam aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, cadangan yang dilihat positif itu bagaimanapun memerlukan kerangka undang-undang baharu melalui penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).- KOSMO! ONLINE