PETALING JAYA – Sebanyak RM107.1 juta nilai jualan direkodkan pada hari keenam pelaksanaan bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) melibatkan seramai 1.7 juta penerima setakat pukul 9.30 malam semalam.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99 peratus.
Menurut kenyataan itu, usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang lima hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai.
“Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan Sara pada 31 Ogos, lebih 8.3 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sara dan Sara bulanan.
“Jumlah jumlah perbelanjaan rakyat daripada 6 hari mencecah RM536.9 juta di seluruh negara,” katanya.
Sara adalah program bantuan tunai dikreditkan ke dalam MyKad penerima, bertujuan mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi Madani.
Berdasarkan laman sesawang Bantuan Tunai kendalian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai secara automatik melalui akaun dibuka menggunakan MyKad.- KOSMO! ONLINE