fbpx
KEKALAHAN kepada Korea menyaksikan pasukan negara sekadar berentap pada aksi penentuan tempat ketiga esok. - HOCKEY INDIA

Piala Asia: Speedy Tigers kempunan ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pasukan hoki lelaki kebangsaan gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Asia 2025 di Rajgir, India selepas tewas kepada Korea Selatan pada aksi terakhir Super 4 sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar itu, skuad kendalian Sarjit Singh terpaksa akur tewas 3-4 meskipun pada awalnya selesa mendahului 3-1.

Malaysia turun ke perlawanan itu dengan moral lebih tinggi kerana pernah menewaskan pasukan tersebut menerusi keputusan 4-1 pada aksi Kumpulan B yang berlangsung 30 Ogos lalu.

Skuad Speedy Tigers tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mohammad Fitri Saari meletakkan Malaysia 1-0 di depan pada minit kesembilan menerusi jaringan padang.

Bagaimanapun, Korea kembali menyamakan kedudukan di suku masa kedua selepas Kim Hyeon Hong memanfaatkan sepenuhnya pukulan sudut penalti (PC) menerusi jaringan yang cukup menarik pada minit ke-24.

Pasukan negara kembali mengatur gerak dan kembali memimpin perlawanan lima minit kemudian hasil gol padang Nik Aiman Nik Rozemi yang bijak menggunakan peluang hasil situasi kelam-kabut di depan gawang lawan.

Bersambung suku masa ketiga, Malaysia tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-31 menerusi Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan PC.

Korea yang masih belum berputus asa kembali merapatkan kedudukan 3-2 hasil jaringan Oh Seyong selepas percubaan yang dilakukan melambung dan gagal diselamatkan Syed Syafiq.

Langkah kemenangan Korea bermula di suku masa keempat apabila Lee Jung Jun menyamakan kedudukan 3-3 hasil gol padang pada minit ke-50 sebelum Hyeon Hong meledak gol kemenangan seminit kemudian menerusi PC.

Biarpun tidak melangkah ke pentas final, namun Malaysia masih memiliki satu perlawanan lagi, iaitu aksi penentuan tempat ketiga dan keempat yang akan berlangsung esok.

Sebagai rekod, pemenang Piala Asia akan mendapat slot automatik ke saingan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Belgium/Belanda pada 15 hingga 30 Ogos tahun depan.

Pencapaian terbaik Speedy Tigers pada Piala Asia adalah menjadi naib juara sebanyak dua kali, iaitu ketika edisi 2017 di Dhaka, Bangladesh serta 2022 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN