JAKARTA – Seorang pereka kostum di Tulungagung, wilayah Jawa Timur mendedahkan bahawa dia tidak ‘menyamun’ patung Iron Man bernilai ratusan juta rupiah milik bekas Ahli Parlimen, Ahmad Sahroni, lapor laman berita Kompas.
Eko Purnomo, 39, dikecam orang ramai selepas memuat naik gambar patung Iron Man rekaannya di platform Facebook.
“Pada keesokan hari, rusuhan berlaku di Jakarta. Telefon saya mengeluarkan banyak notifikasi, rakan-rakan beritahu bahawa patung Iron Man saya tular. Saya dituduh mencuri,” kata Eko.
Eko berkata, patung tersebut antara satu daripada dua tempahan yang dipesan oleh pembeli dari Malaysia dan Eropah.
“Meskipun terkejut, saya berasa bangga kerana karya seni murah ini dianggap setaraf dan mewah seperti milik Sahroni,” tambahnya.
Patung Iron Man milik Sahroni dianggarkan bernilai 288 juta rupiah (RM74,000). Ia dilarikan oleh penunjuk perasaan semasa menyerbu rumahnya di Jakarta minggu lalu. – AGENSI