fbpx
Rakaman keterangan suspek dijalankan di Menara KPJ, Kuala Lumpur.

Op Pancing tumpaskan kegiatan SMS palsu guna Fake BTS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) tumpas selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Pancing baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan berkata, berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan ketika mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran pusat membeli-belah utama di ibu kota.

“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.

“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Susulan tangkapan itu, pasukan operasi turut menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna serta peralatan komunikasi berkaitan Fake BTS.

Hasil operasi berkenaan katanya, sebanyak 45 barangan bernilai kira-kira RM100,000 disita manakala seorang individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

MCMC menjelaskan, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi terbaharu dengan mengubah suai peralatan Fake BTS supaya boleh beroperasi secara mudah alih.

Kata MCMC, Kes kini disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“(Selain itu,) siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI