BRATISLAVA – Aksi kurang bermaya ditampilkan Jerman ketika tewas mengejut 0-2 kepada Slovakia pada perlawanan sulung Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional awal pagi semalam.
Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan tersebut, namun skuad Die Mannschaft itu terpaksa pulang tangan kosong selepas tuan rumah meledak dua gol menerusi David Hancko dan David Strelec.
Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann berang dengan keputusan itu selain melabelkan anak-anak buahnya langsung tidak menunjukkan kemahuan serta semangat sepanjang perlawanan berlangsung.
“Selain dua atau tiga pemain yang mengalami kecederaan, saya fikir ini adalah pemain terbaik dalam pasukan Jerman. Mungkin selepas ini saya perlu memanggil pemain kurang berkualiti tetapi memiliki semangat juang tinggi.
“Memang saya memberi kepercayaan 100 peratus kepada pemain tetapi tidak cukup sekiranya anda hanya bersandarkan kualiti semata-mata jika pasukan lawan menunjukkan keinginan lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan, Jonathan Tah senada dengan jurulatihnya itu apabila menggesa rakan sepasukan supaya menunjukkan peningkatan menjelang aksi seterusnya bertemu Ireland Utara Isnin nanti.
“Kami terlalu mudah hilang bola dan tidak dapat mengawal permainan dengan baik. Memang kami layak untuk kalah kerana semua pemain langsung tidak menunjukkan keinginan serta kemahuan,” ujarnya. – AGENSI